Ibu Memberi Bukan Untuk Menerima



Ibu Memberi Bukan Untuk Menerima

 

Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed (begitulah panggilan saya kepadanya) bercerita seadanya. Perlahan... seakan-akan berbual ringan.

“Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?”

“Semua ibu istimewa.”

“Ya, semua ibu istimewa, cuma keistimewaan seorang ibu dengan yang lain pasti tidak sama. Tapi apa keistimewaan ibu Tuan Syed?” pinta saya seakan merayu.

“Saya teringat...”

Tuan Syed mula bercerita, “Satu hari semasa umi sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah umi menuruni tangga.”

Saya mendengar penuh minat.

“Tiba-tiba umi berkata, umi risau, kalau umi meninggal nanti siapa yang akan doakan kamu!”

Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu mungkin jawapan saya berbeza.

Mungkin saya akan berkata begini, “Kalau umi meninggal nanti, siapalah di antara anak-anak umi yang nak doakan umi. Jangan lupa doa umi ya?”

Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya, dia bimbang kalau tidak dapat ‘memberi,' manakala saya, bimbang kalau tidak dapat ‘menerima.’

“Apa kesan daripada kata-kata ibu kepada Tuan Syed?” cungkil saya.

“Semenjak itu hingga kini, selepas lima tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat berkesan di hati saya.”

Matanya mula berair. Sebak. Jiwa saya terpukul. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibunya yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik?

Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi akan disayangi. Siapa yang paling tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Petikan "NOTA HATI SEORANG LELAKI" - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

BUKU BERKAITAN

    KOMEN
    DAPATKAN BUKU INI